Dalam usia sebegini, mereka dianggap sudah pandai berdikari, tahu mengawal diri dan emosi serta menjadi lebih kreatif. Mereka juga gemar mencuba pelbagai perkara baru terutamanya meluangkan lebih masa bermain dengan permainan dan teman-teman mereka.
PERKEMBANGAN BAHASA & KOGNITIF
Anak anda sudah pandai berbual secara dua hala. Perbualan itu mungkin sahaja ringkas, tapi dia mampu memberi jawapan apabila ditanya dan mampu pula mengajukan soalan. Bahkan mampu menzahirkan pandangan atau perasaannya terhadap topik berkenaan.
Antara perkembangan bahasa & kognitif yang dicapai pada usia 4-5 tahun adalah:
– Percakapan lebih jelas & lebih kompleks
– Pandai membilang barang
– Tahu perbezaan warna & bentuk
– Mengenal huruf, bahkan mungkin sudah pandai menulis nama sendiri
– Memahami konsep masa, seperti mandi pada waktu pagi, solat pada waktu maghrib
– Dapat memberi lebih tumpuan
– Boleh mengikut beberapa arahan serentak, seperti “tukar baju, kemudian gosok gigi, selepas tu masuk bilik dan tidur”
– Jika diajar, anak mungkin dapat menghafal nombor telefon ibu ayah
– Memahami maksud sesuatu tanda seperti Merah maksudnya berhenti
PERKEMBANGAN KEMAHIRAN FIZIKAL
Anak-anak belajar sambil bermain. Jadi, jika mereka suka berlari, melompat, memanjat, menyepak atau bergayut adalah perkara biasa. Aktiviti-aktiviti ini menguatkan lagi otot-otot tangan dan kaki anak-anak. Saat bermain ini jugalah mereka belajar tentang keseimbangan badan
Antara pergerakaan lain yang boleh dibuat oleh anak-anak usia 4-5 tahun adalah:
– Berdiri sebelah kaki lebih dari 9 saat
– Menaiki dan menuruni tangga tanpa bantuan
– Berjalan kehadapan dan kebelakang dengan mudah
– Mangayuh basikal
– Melukis bentuk bentuk geometri
– Melukis orang
– Menyusun lebih dari 10 bongkah secara bertingkat
– Tahu menggunakan sudu dan garpu
PERKEMBANGAN EMOSI DAN SOSIAL
Mereka mula sedar yang dunia ini bukan tentang dirinya sahaja. Pada usia ini, mereka memula memahami perasaan orang lain juga. Mereka mula pandai mengurus konflik dan mengawal emosi sendiri.
Antara perkembangan emosi dan sosial anak-anak 4-5 tahun adalah:
– Suka bermain dengan kawan-kawan dan meraikan mereka
– Boleh berkongsi dan menunggu giliran
– Memahami dan boleh mematuhi peraturan. kadangkala sukar memberi kerjasama adalah biasa
– Lebih berdikari
– Mampu menzahirkan perasan marah menerusi perkataan berbanding tindakan
PERLU KE RISAU?
Perkembangan anak-anak tak serupa antara satu sama lain. Jadi jangan risau jika mereka tidak mencapai perkembangan seperti yang dikongsikan. Paling tidak, anda dapat perhatikan banyak kemahiran yang dapat dikuasai anak-anak apabila usianya makin bertambah.
Bagaimana untuk ibu bapa dapat membantu anak-anak semasa proses perkembangn ini?
– Ajak mereka berbual, tanya apa yang mereka belajar di tadika
– Bermain permainan fizikal dengan mereka seperti menyepak bola
– Berikan peraturan mudah untuk diikuti seperti menyusun mainan selepas digunakan
– Kerap bawa mereka bersosial, seperti biarkan mereka bermain dengan sepupunya
– Bacakan buku kepada anak, ini mengayakan kosa kata mereka
– Jelaskan sebab dan akibat sesuatu perkara.
Kredit : junior aulad