Tertarik dengan sistem pendidikan Jepun yang sangat kondusif dan efisien. Rakyat negara matahari terbit ini sangat menitikberatkan hal disiplin dan sahsiah diri sejak usia muda. Bermula di sekolah tadika lagi, sistem pendidikan tidak begitu memberat hal akademik, malahan bagaimana membentuk perkembangan anak-anak ini.
Artikel minggu ini mengajak anda menyelami sebahagian daripada budaya Jepun yang telah diterapkan sejak di bangku sekolah lagi. Salah satunya cara kanak-kanak Jepun ini mengendalikan waktu rehat (makan tengah hari) untuk diri sendiri dan rakan-rakan mengikut tugasan masing-masing. Mereka akan makan di dalam kelas.
Apa yang menarik, ada hidangan yang digunakan dari hasil tanaman mereka sendiri di kebun sekolah, misalnya tanaman kentang yang mereka tanam sendiri akan dipungut hasilnya untuk membuat hidangan kentang lecek.
Satu usaha yang sangat baik, guru akan turut bersama-sama makan dengan mereka. Hal ini akan menjalinkan hubungan yang lebih erat antara murid dengan guru. Selain itu, kertas atau plastik pembungkus makanan yang telah diguna akan dibersihkan, dibasuh hingga ke peringkat pengeringan. Kemudian barangan tersebut akan dikumpul di satu stesen khas untuk dihantar ke pusat kitar semula. Semuanya dilakukan sendiri oleh murid-murid Jepun secara berkumpulan.
Selepas waktu makan, mereka semua akan ke tandas membersihkan gigi masing-masing. Sebagai info tambahan, bagi murid yang bawa bento (bekal makanan), pengisian dan dekorasi makanan adalah sangat penting. Dikatakan jika bento yang dibekalkan oleh ibu kepada anaknya kurang menarik, pihak sekolah akan mengambil tindakan terhadap ibu bapa murid tersebut.
Untuk ketahui lebih lanjut, tonton video ini.