Sazali adalah karakter di dalam filem “Anakku Sazali” lakonan hebat Allahyarham Mohd Nor (Tony Castello) dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1956. Filem ini adalah hasil karya dan arahan Phani Majumdar, seorang karyawan filem dari India.
Semua ibu bapa mendoakan dan mengharapkan agar tiada anak mereka yang menjadi ‘Sazali’. Mungkin juga ramai ibu bapa yang ‘mempelajari’ kaedah mendidik anak dari filem ini supaya anak mereka tidak menjadi Sazali. Tidak dapat dinafikan filem memberi impak yang besar kepada masyarakat. Apa yang kita lihat, dari kecil lagi Sazali tidak pernah sekalipun dijentik oleh bapanya sehinggakan dia sanggup berbohong dan mencuri semasa kecilnya.
Apabila dewasa dia menjadi ketua ‘gangster’ yang merompak, memiliki senjata api, dan tergamak meragut kehormatan sepupunya sendiri, Rokiah. Adakah kerana tidak dihukum maka Sazali menjadi ‘Sazali’ atau adakah faktor lain lagi yang menjadikan dia sebegitu dan perlu juga kita perhalusi?
Aspek Keimanan
Dalam kehidupan Sazali, tidak pernah sekalipun kita melihat pendidikan keimanan yang asas iaitu taqwa kepada Allah SWT dan kasihkan Rasulullah SAW diterapkan oleh Hassan, bapa Sazali. Tidak pernah sekali pun kita melihat Hassan dan Mahani, ibu Sazali, bersolat. Sazali juga tidak pernah diajak dan diajar untuk bersolat semasa kecil.
Benar, ini hanyalah sebuah filem dan sebuah filem yang berdurasi dua jam tidak dapat memuatkan semua adegan solat. Walau bagaimanapun, untuk mengambil kisah Sazali sebagai teladan bagi kehidupan realiti, kita juga harus mengambil kira penerapan pendidikan keimanan untuk dijadikan iktibar.
Cuma di penghujung cerita, Hassan menadah tangan berdoa kepada Allah SWT apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan anak pendidikan keimanan dan memberi penekanan kepada nilai-nilai dan akhlak Islam dari kecil. Ternyata tanggungjawab ini gagal dilaksanakan oleh Hassan. Pendidikan keimanan inilah yang akan melahirkan rasa hormat dan kepatuhan kepada ibu bapa kerana itulah yang dituntut oleh Islam.
Inilah yang menjadi punca kepada segala permasalahan Sazali. Perkahwinan Hassan dan Ani tanpa redha dan restu ibubapa Ani juga bukanlah teladan yang baik buat semua dan merumitkan lagi proses mendidik Sazali. Dia membesar tanpa sokongan, didikan dan belaian datuk dan nenek yang juga memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu.
BERJAYAKAH HASSAN SEBAGAI SEORANG BAPA?
Ketika Ani meluahkan kerisauannya tentang anak yang bakal lahir kiranya apa-apa berlaku kepadanya, Hassan berjanji kepada Ani,
“Tiada siapa yang akan merosakkan anak kita selagi aku masih hidup. Aku berjanji Ani.”
Mungkinkah maksud “tidak merosakkan” akhirnya memudaratkan Sazali?
Adakah “tidak merosakkan” bagi Hassan bermaksud tidak merosakkan kegembiraan Sazali dengan menurut segala kemahuan tanpa sebarang bantahan ?
Dalam proses keibubapaan, tidak semua peraturan dan batasan yang kita tetapkan akan menggembirakan anak-anak. Bukanlah tanggungjawab ibu bapa untuk menggembirakan anak-anak dengan tidak mewujudkan peraturan. Bukanlah tanggungjawab ibu bapa mengadakan peraturan yang menggembirakan anak semata-mata. Peraturan yang jelas dan diamalkan secara konsisten perlu untuk membimbing anak supaya mereka akhirnya menjadi anggota masyarakat yang baik.
Dengan kematian Ani, Sazali membesar tanpa kasih sayang dan bimbingan seorang ibu. Ini sudah tentunya meninggalkan kesan terhadap proses pembentukan akhlak dan peribadi Sazali. Tanggungjawab seorang ibu melengkapkan tanggungjawab seorang ayah. Adalah agak rumit untuk seorang ayah memikul tanggungjawab seorang ibu dan seorang ayah dengan serentak. Mungkinkah ini juga menyebabkan Hassan keliru dengan hala tujunya dalam mendidik Sazali.
Membentuk keperibadian dan disiplin anak-anak bukanlah terletak pada hukuman semata-mata. Proses keibubapaan merangkumi hak dan tanggungjawab di antara ibu bapa dan anak. Hak ibu bapa untuk disayangi, dijaga dan dihormati adalah tanggungjawab anak, manakala hak anak untuk disayangi, dipelihara, dan diberi pendidikan (keimanan, akhlak, emosi, intelektual dan fizikal) adalah tanggungjawab ibu bapa. Ketidakseimbangan hak dan tanggungjawab akan menyebabkan kepincangan. Bak kata Sazali,
“Bapalah yang bertanggungjawab ke atas segala kelakuan baik dan buruk Sazali.”
Inilah faktor-faktor yang menjadikan anak itu ‘Sazali’.
Filem ini diakhiri dengan doa Hassan sebelum melaporkan tentang Sazali kepada pihak polis.
“Ya Allah Ya Tuhanku, kepadaMulah ku pohonkan rahmat. Berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku tenaga untuk menjalankan kewajipanku sebagai seorang bapa.”
Anak-anak ibarat kain putih. Kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan bagaimana jadinya nanti.
Kredit : Parent Connect Consultancy